Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Menganugerahkan Bintang, Pingat Dan Sijil Pengakap Raja Kepada 315 Penerima

Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua Perak telah dianugerahkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Timbalan Yang Dipertua PPM Perak.

IPOH, 16 Julai 2022 - DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak 2022 kepada 315 penerima.

Keberangkatan tiba baginda ketika istiadat penganugerahan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, disambut oleh YBhg. Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zin Bidin diiringi YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan Ketua Pesuruhjaya PPM Perak, Haji Ahmad Azam Shah Abd Majid.

Mendahului senarai penerima ialah YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad merangkap Yang Dipertua PPM yang dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Kedua Perak (BSP-ll)

Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua Perak telah dianugerahkan kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Timbalan Yang Dipertua PPM Perak; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Komunikasi Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Encik Saidi Mohamed Daud yang juga Naib Yang Dipertua PPM Perak dan YBhg. Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Tuan Aznan Haji Alias.

Anugerah Sijil Pengakap Raja disampaikan kepada 222 penerima membabitkan ahli Pengakap Remaja pada 2019 dan 2020 yang berjaya menamatkan skima lencana di dalam pergerakan pengakap sekolah.

YBhg. Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zin Bidin berkata PPM akan berusaha dengan lebih dinamik dan komited untuk melaksanakan Pelan Strategik PPM 2018-2023 dan 11 Fokus Utama Kepengakapan Negara.

Antaranya adalah pendigitalan, pengurusan aset yang bijak, pemerkasaan Sustainable Development Goals, pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan perkembangan Community- Based Scouting.

“Kisah pergerakan pengakap di Malaysia amat wajar didedahkan kepada generasi mendatang agar dapat dijadikan wadah pembangunan modal insan negara,” ujar beliau ketika mengakhiri ucapannya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.