Pelan Perak Sejahtera 2030 Pastikan Tiada Rakyat Terpinggir.

YAB Menteri Besar Perak ketika ucapan di Persidangan Pertama Mesyuarat Kedua Tahun Kelima Dewan Negeri Yang Ke - 14
IPOH, 18 Julai 2022- Kerajaan Negeri Perak akan memastikan tiada mana-mana kumpulan rakyat yang terpinggir daripada program pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, pelan itu bersifat dinamik di mana penyesuaian dan penambahbaikan boleh dilakukan bagi memenuhi keperluan perancangan atau tuntutan semasa di luar jangkaan.
“Pelan itu merupakan rancangan pembangunan negeri yang menjadi penunjuk arah untuk jentera kerajaan merancang dan merencana pembangunan Perak menuju tahun 2030.
“Kita mempunyai matlamat yang cukup jelas, iaitu memastikan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera menjelang 2030 dan hala tuju ini telah disokong dengan tujuan yang jelas bagi memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan Pertama Mesyuarat Kedua Tahun Kelima Dewan Negeri Yang Ke - 14, Perak Darul Ridzuan, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani lagi, kerajaan negeri berhasrat untuk melaksanakan pembangunan sosioekonomi yang mapan dalam berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan yang sedang dan akan berlaku dalam tempoh menuju tahun 2030.
“Pembangunan tidak akan bermakna jika limpahan dan manfaat yang diraih daripadanya tidak dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, jantina mahu pun status ekonomi.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan inklusif yang dirancang menerusi pelan ini tidak akan meminggirkan atau mengenepikan mana-mana kumpulan rakyat,” ujarnya lagi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.