Skip to main content

Ahli Majlis Fatwa Perak, Dato’ Haji As’ad Awang Dinobatkan Sebagai Tokoh Maal Hijrah 1444 H.

Dato' Haji As'ad Awang menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1444 H

IPOH, 30 Julai 2022- Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak, Dato’ Haji As'ad Awang, 65, yang juga bekas guru dan pensyarah Bahasa Arab dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1444 Hijrah.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah berkenaan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 H Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, pagi ini.

Setiausaha Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Sirat Abdullah pula yang memperkenalkan konsep masjid dalam kebun dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Ar Ridzuan.

Setiap penerima menerima hadiah wang tunai RM15,000 di samping pakej umrah bernilai RM7,000 berserta sijil.

Anugerah Belia diberikan kepada penuntut terbaik Malaysia dan ke sembilan dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Siti Naziah Mohamad Naziq.

Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik dimenangi oleh Masjid Bandar Universiti, Seri Iskandar manakala Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik diberikan kepada Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tembak, Lumut.

Tiga buah sekolah dipilih menerima Anugerah Usaha Tani Sekolah Terbaik iaitu Sekolah Kebangsaan Changkat Tin, Tanjung Tialang; Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz, Lenggong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Seri Wan Mohamed, Gerik.

Anugerah Usaha Tani Masjid Terbaik pula diberikan kepada Masjid Al Muhajirin, Kampung Nibong Hangus, Parit Buntar; Masjid Al Khairiah, Rantau Panjang, Selama dan Masjid Tajul Rahman, Teluk Intan.

Semua pemenang menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta sijil.

Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YABhg. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop Husin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 02 Mei 2025, 00:51:03.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.