DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Melawat Konsep Pertanian Moden Secara Skala Sederhana.

Meningkatkan penghasilan bahan makanan merupakan satu langkah penghijrahan yang strategik.
IPOH, 30 Julai 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat ‘Urban Farming’ yang terletak di aras 2, Hotel Casuarina@Meru ketika berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1444 Peringkat Negeri Perak, di sini.
“Langkah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menjalin kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri dan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan merupakan perintisan usaha baharu di luar daripada norma budaya kerja biasa, satu langkah penghijrahan yang strategik,” titah baginda dalam majlis berkenaan.
Menurut YBrs. Pengarah Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti Othman, sebanyak 2,700 pasu ditanam di sini dan hasil tuaian akan diberikan kepada rumah-rumah anak yatim di sekitar Ipoh melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Antara rumah-rumah anak yatim adalah Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Asrama Anak-Anak Yatim dan warga miskin budi mulia Nurul Huda, Maahad Tahfiz Al-Quran dan Akademik BAKIP (MATAQAB) serta Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman.
Turut berangkat ialah DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YABhg. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Dato’ Haji Mohd Yusop Husin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.