Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Hadir Ke Istiadat Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan memeriksa kawalan kehormat.

IPOH, 31 Julai 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri istiadat sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi ini.

Ketibaan baginda kira-kira jam 9 pagi diiringi DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan Raja DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah yang turut sama berangkat ke majlis sambutan itu.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YDH Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid; YBhg. Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Ajis dan Panglima Markas 2 Briged, Tuan Brigedier Jeneral Mohd Azmurin Mat Khalib; dan seluruh barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormat oleh baginda yang terdiri daripada tiga pegawai kanan polis dan 102 anggota lain-lain pangkat dari Batalion 1 Pasukan Gerakan (PGA) Brigade Utara, Ulu Kinta dipimpin oleh Pegawai Baris, Deputi Superintendan Md Shazni Md Shariff.

Pegawai pembawa panji-panji pula adalah Inspektor Mohd Izar Ramli dengan detasmen perhimpunan mengandungi seramai 780 pegawai dan anggota merangkumi 11 jabatan serta agensi kerajaan dan keselamatan.

Sebaik kawalan kehormat selesai, tiupan paluan akhir (Last Post) dimainkan dan bendera Jalur Gemilang kemudian diturunkan.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Asisten Superintendan Mohd Mahyuddin Mohd Mokhtar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan diikuti deklamasi sajak bertajuk 'Pahlawanku' oleh Asisten Superintendan Ahirrudin Mat Saat dari PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan tamatnya upacara.

Baginda kemudiannya berkenan berangkat ke Majlis Santapan dan menyaksikan beberapa persembahan nyanyian dan pentomen di Dewan Bankuet sebelum berangkat pulang.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.