PDRM Terima 30 Buah Bot Penyelamat.

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menyampaikan replika bot kepada YDH Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid diriingi YDH Dato’ Pahlawan Azizi Mat Aris.
IPOH, 2 Ogos 2022- Kerajaan negeri telah bersetuju untuk meluluskan kos sebanyak RM400,500 bagi membekalkan 30 buah bot penyelamat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Perak.
Simbolik penyerahan bot tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad semasa Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis, pagi ini.
“Saya menerima permohonan daripada YDH Ketua Polis Perak mengenai keperluan untuk pihak polis diberikan bot penyelamat setelah kita melalui beberapa kali pengalaman dilanda banjir sama ada banjir kilat mahupun banjir semasa musim tengkujuh.
“Setiap daerah akan menerima dua bot ini yang lengkap dengan enjin dan jaket keselamatan bagi 6 orang penumpang ataupun lebih,” jelasnya.
Tambahnya lagi, rekaan bot ini adalah lebih fleksibel dan saiznya yang kecil memudahkan ia menyusuri di kawasan perumahan dan berbumbung ketika proses menyelamat dijalankan.
“Jika kita menggunakan bot yang besar, ia akan menghasilkan ombak yang kuat dan itu akan menyukarkan proses menyelamat atau mungkin akan melemaskan mangsa lain. Bot yang besar juga susah untuk lalu di antara rumah ke rumah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis tersebut.
Beliau berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu pihak PDRM untuk melaksanakan tugas dengan baik ketika membantu orang awam. Tambahan pula, bot ini boleh digunakan juga ketika operasi menyelamatkan mangsa lemas dan sebagainya.
Hadir sama, YDH Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Wahid; YDH Timbalan Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Azizi Mat Aris dan Pengarah SMSR Resources, Syed Shukran Syed Muhamad.
Sumber : Korporat, SUK Perak.