Sambutan Bulan Kebangsaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Negeri Perak Kembali Meriah.

Kanak-kanak bergambar bersama YAB Menteri Besar Perak sambil mengibarkan jalur gemilang
GERIK, 5 Ogos 2022- Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang kembali meriah setelah lebih dua tahun terpaksa diraikan secara sederhana ekoran pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah, pada kali ini, kita kembali dapat meraikan bulan kemerdekaan ini dengan meriah dan julung kalinya ia dilancarkan di Gerik, daerah Hulu Perak,” kata YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya semasa melancarkan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Negeri Perak, petang ini.
Menurutnya, tahun sebelum ini, kita diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kita tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti, sambutan mahupun beraya.
Apabila dijajah dahulu, perintah berkurung turut dikenakan kerana risau dengan ancaman penjajah ketika itu.
“Satu ketika dahulu, kita terkurung selama bertahun-tahun kerana bimbang dengan ancaman komunis. Kemana-mana sahaja kita perlu berhadapan dengan sekatan polis. Saya juga tidak terkecuali sewaktu saya menjadi guru dahulu, sebelum ke sekolah, saya kena menghadapi dua sekatan polis.
“Waktu itu juga, kita tidak dapat membuat apa-apa pembangunan. Setelah kita mendapat kemerdekaan, barulah kerajaan kita dapat membina jalan raya dan pembangunan yang seterusnya menjana pendapatan kepada penduduk.
“Oleh itu, kita perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan kepada kita nikmat kebebasan, kedamaian dan kemerdekaan,” jelasnya,
Tambahnya lagi, bendera Jalur Gemilang perlu dilihat sebagai panji negara, semangat jati diri, kekuatan mental dan tanamkan rasa syukur kepada Allah SWT.
“Jalur Gemilang ini bukan hanya kain yang bercorak. Jangan biarkan ia jatuh kerana ia adalah lambang negara kita. Angkat dan kibarkanlah Jalur Gemilang dengan semangat,” ujarnya.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed; YDH Orang Besar Jajahan Hulu Perak, Toh Muda Orang Kaya Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Dato’ Ar. LA Meor Roslan bin Dato’ Seri Hj. Meor Ahmad Rashidi; YBrs. Pegawai Daerah Hulu Perak, Encik Mohd Zairasyahli Shah Zakaria dan YBrs. Pengarah Penerangan Negeri, Tuan Haji Mohd Taib Haji Ubah serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Sumber : Korporat, SUK Perak.