Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 5 Tahun 2022.

Orang ramai sedang menunggu giliran untuk berjumpa dengan YAB Dato' Seri Saarani Mohamad untuk membuat aduan dan pelbagai masalah
IPOH, 16 Ogos 2022- Program Hari Bertemu Pelanggan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak komited untuk memberi peluang kepada rakyat menyelesaikan masalah serta aduan dengan lebih cepat dan secara bersemuka.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, sehingga 14 Jun 2022, sebanyak 573 aduan telah diterima dan 394 aduan telah diselesaikan dan diambil tindakan lanjut.
“Sepanjang empat siri program ini, antara jabatan atau agensi yang telah menerima aduan tertinggi adalah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta Batu Gajah (PDT).
“Bagi MBI, antara masalah dan aduan utama yang diterima ialah mengenai isu longkang runtuh, landskap tidak terurus dan mengganggu ketenteraman orang awam. Bagi PTG Negeri Perak pula, peratus penerimaan aduan dan permohonan tertinggi adalah berkaitan pelupusan dan pembangunan tanah.
“Manakala, aduan utama yang diterima oleh PDT Kinta Batu Gajah adalah masalah berkaitan pembangunan tanah, pencerobohan dan pelupusan,” jelasnya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Siri Kelima, di Stadium Indera Mulia, pagi ini.
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Puan Halizah Sipun; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Srihartini Mohamed Shamsudin.
Tambah YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, istimewanya hari ini, pengunjung turut berpeluang menghadiri Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia @ Perak Sejahtera 2030 yang dilaksanakan oleh Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak).
“Antara pengisian program ialah taklimat berkenaan perkongsian usahawan Wanita Berjaya dan motivasi keibubapaan oleh Pengerusi Dewanita Malaysia, Dato’ Hajah Nor Haliza Hussain dan Pencetus Ummah, Mohammad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin),” katanya.
Sumber : Korporat, SUK Perak.