Perak Tawar Insentif Kepada Atlet Yang Berjaya Bawa Pulang Pingat SUKMA Tahun 2022.

Para hadirin bergambar sambil memberi sorakan semangat kepada para atlet.
BAGAN SERAI, 29 Ogos 2022- Kerajaan Negeri Perak menawarkan insentif kewangan kepada atlet yang berjaya meraih pingat atau memecah rekod pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, yang akan diadakan pada 16 September sehingga 24 September 2022 di sekitar Lembah Klang.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, insentif tersebut akan diberikan mengikut kategori individu dan berpasukan bagi meningkatkan semangat juang para atlet.
“Bagi kategori individu yang berjaya meraih pingat emas, atlet tersebut akan menerima insentif sebanyak RM5,000, RM3,000 bagi pingat perak dan RM1,000 bagi pingat gangsa.
“Manakala, untuk kategori berpasukan, kerajaan negeri akan menganugerahkan insentif setiap seorang sebanyak RM2,500 untuk pingat emas, RM1,500 bagi pingat perak dan RM500 bagi pingat gangsa.
“Bagi atlet yang berjaya memecah rekod SUKMA pula akan diberi wang insentif sebanyak RM1,000.
“Insentif ini adalah sebagai pembakar semangat mereka untuk membawa bendera Perak, visi dan misi untuk mencapai kejayaan semasa bertanding nanti.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Perak ke Temasya SUKMA 2022 di Dewan Sebarau, Bukit Merah Laketown Resort.
Temasya SUKMA tahun ini, kontinjen Perak menyasarkan 50 pingat emas dengan mengambil kira pencapaian semasa atlet negeri itu.
Tambahnya lagi, seramai 531 orang atlet dari negeri ini akan menyertai 426 acara melibatkan 31 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya tersebut.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato' Haji Mohd Zolkafly Harun dan YBrs. Ketua Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2022, Encik Johari Sham Ahmad Shohor Affendi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.