Skip to main content

Semangat Merdeka Kembali Meriah Setelah Era Pandemik.

Acara dimulakan sebaik keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersama DYMM Raja Permaisuri Perak serta putera dan puteri baginda.

IPOH, 31 Ogos 2022- Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 yang diadakan di perkarangan Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang disambut meriah setelah era pandemik dengan kehadiran lebih 15,000 orang membanjiri dataran sejak awal pagi lagi.

Acara dimulakan sebaik keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta putera dan puteri baginda, YTM Raja Kecil Besar Perak, Raja Dato’ Seri Azlan Muzaffar Shah dan YTM Raja Nazira Safya kira-kira jam 8.00 pagi.

Sejurus tiba, baginda berkenan memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen, Kem Sangro, Taiping sambil diiringi pancaragam KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu kebesaran Negeri Perak.

Majlis sambutan diteruskan dengan bacaan ikrar Hari Kebangsaan oleh 16 orang Pelajar Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Putra di hadapan pentas utama sebelum persembahan nyanyian koir seramai 105 orang daripada gabungan 3 buah sekolah iaitu SJKC Ave Maria Convent, SMJK Sam Tet dan SMJK Ave Maria Convent yang menyampaikan 2 buah lagu, Keluarga Malaysia Teguh Bersama dan Jalur Gemilang.

Persembahan muzikal yang mengisahkan perjuangan rakyat Malaysia bersama-sama menentang pandemik COVID-19 turut mencuri perhatian.

Acara kemuncak pada majlis sambutan ini adalah perarakan masuk 95 kontinjen dari pelbagai jabatan dan agensi, membabitkan 6,200 peserta bagi menyertai acara perbarisan.

Antara kontinjen yang mengambil bahagian adalah kontinjen dari Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agensi-agensi kerajaan serta swasta, pertubuhan bukan kerajaan, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah.

Turut berangkat, DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah dan isteri DYAM Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato ' Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, YB Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.