Perak Negeri Pertama Beri Lesen L Percuma Kepada Golongan B40, OKU

YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam ketika menyampaikan Lesen Motosikal Perak Sejahtera.
SUNGAI SIPUT, 6 September 2022- Perak menjadi negeri pertama yang memberikan 1,571 lesen percubaan atau Lesen L secara percuma kepada golongan B40, Orang Asli dan orang kurang upaya menerusi Program Lesen Motosikal Perak Sejahtera.
YB Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Mohd Zolkafly Harun berkata, negeri Perak merupakan negeri pertama memberikan lesen L percuma kepada golongan yang terpilih selepas mereka mengikuti kursus secara bertulis dan disahkan layak oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
“Pemberian lesen tersebut diberikan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) kepada mereka yang layak di seluruh daerah di negeri Perak.
“Seramai 600 orang sudah menerima lesen L berkenaan, manakala baki penerima akan diberikan pada penghujung September atau awal Oktober depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Motosikal Perak Sejahtera mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Orang Asli One Stop Center (OAOSC), Bawong di sini.
Hadir sama, YBrs. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Tuan Mohammad Yusoff Abustan serta YBrs. Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Encik Zulhisham Ahmad Shukori.
Ujar YB Dato’ Mohd Zolkafly Harun lagi, jumlah penerima lesen berkenaan adalah berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan negeri.
“Kalau ikutkan tidak cukup, tapi ini berdasarkan peruntukan setengah juta ringgit yang diluluskan menerusi PRE maka seramai 1,571 orang sahaja yang layak untuk menerima lesen L ini.
“Oleh itu, saya berhasrat untuk meneruskan program sebegini lagi dan akan mencadangkan agar ia dimasukkan di dalam Bajet 2023 nanti,” ujarnya lagi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.