Perak Pilihan XP Power Bina Kilang Pertama Di Malaysia.

YA Dato' Seri Saarani Mohamad menandatangani plak perasmian Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power (Malaysia).
SERI ISKANDAR, 8 September 2022- Syarikat pembuat komponen elektrik dan elektronik (E&E), XP Power Pte Ltd memilih Perak sebagai tempat untuk mendirikan kilang pertamanya di Malaysia dan ketiga di Asia Tenggara membuktikan langkah pemulihan ekonomi oleh kerajaan negeri semakin membuahkan hasil.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, kehadiran XP Power Malaysia tentunya memberi kesan yang sangat signifikan kepada pembangunan negeri secara umum dan daerah Perak Tengah secara khusus.
“Pelaksanaan fasa pertama projek yang dikenali sebagai Asia III ini akan melibatkan pelaburan RM300 juta sekali gus menjadikan ia sebagai pelaburan terbesar XP Power di rantau ini.
“Pembinaan kilang di atas lot industri seluas 8.5 hektar akan bermula pada bulan ini dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2024.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power (Malaysia), Taman Perindustrian Farmaseutikal dekat sini, hari ini.
Tambahnya lagi, syarikat yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam industri sejak 1988 serta reputasi sebagai antara 250 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham London berminat untuk menjalin kerjasama dengan institusi kemahiran dan pengajian tinggi tempatan bagi menggunakan sebanyak mungkin tenaga kerja dan kepakaran tempatan.
”XP Power akan menjalankan kerjasama dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Politeknik Ungku Omar (PUO), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh dan Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Negeri Perak (PESDC) Ipoh.
“Saya berharap penduduk Perak khususnya belia dapat mengisi peluang kerjaya berkualiti di peringkat pengurusan, eksekutif, jurutera, juruteknik atau penyelia sekali gus menepati teras dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu ‘Kepakaran Berkualiti dan Bernilai Tinggi’,” ujarnya.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Dato’ Shahrul Zaman Datuk Yahya; YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Encik Khairul Shahril Mohamed; Ketua Eksekutif Perak Invest Management Centre (InvestPerak), Encik Izran Abdullah dan Ketua Pegawai Kewangan XP Power, Oskar Zahn.
Sumber : Korporat, SUK Perak.