Skip to main content

Dialog Belanjawan 2023: Sekuriti Makanan Dan Kesejahteraan Sosial Antara Isu Utama.

YAB Menteri Besar Perak bersama YB Setiausaha Kerajaan Negeri menyatuni para hadirin selepas program dialog berlangsung.

IPOH, 9 September 2022- Sekuriti makanan dan kesejahteraan sosial masyarakat terutama penjagaan orang-orang tua serta anak-anak yatim piatu menjadi antara isu yang dibangkitkan dalam Program Dialog Belanjawan 2023 Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang telah mempengerusikan dialog tersebut, berkata, seperti yang turut dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sekuriti makanan menjadi isu utama sekarang ini.

“Saya berharap pihak berkaitan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) untuk menitikberatkan isu ini kerana persoalan sekarang adalah bagaimana kita ingin menangani krisis yang sedang berlaku ini.

“Saya dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Puan Halizah Sipun bersedia untuk mengkaji balik peruntukan yang diperlukan untuk menangani isu ini,” jelasnya.

Manakala, dari segi kesejahteraan sosial pula, beliau bersetuju dengan pandangan bahawa kita tidak seharusnya terlepas pandang mengenai keperluan penjagaan orang tua dan anak-anak yatim.

“Apabila kita menyebut tentang kesejahteraan sosial, dalam belanjawan yang lepas, kita telah menyediakan peruntukan pembiayaan persekolahan dan bantuan sara hidup bagi penjaga anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa disebabkan COVID-19.

“Tetapi, saya faham ia tidak memadai kerana dari semasa ke semasa, kita perlu lihat keperluan untuk kita menjadikan usaha kebajikan ini bukanlah diuruskan oleh sukarelawan semata-mata. Kerajaan juga perlu mengambil serius mengenai perkara ini,” ujarnya ketika berucap di program tersebut.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta 17 agensi kerajaan negeri.

YB Tuan Mohd Zaki Mahyudin turut membentangkan kedudukan kewangan semasa. Malah, kerajaan negeri amat mengalu-alukan segala cadangan bagi pembangunan negeri termasuk penambahbaikan projek atau program sedia ada untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Tahun 2023.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.