Skip to main content

Graduan TVET 4.0 Perlu Berkemahiran Tinggi Bagi Memenuhi Permintaan Industri.

YB Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim menyampaikan Anugerah Ketua Pengarah kepada Ibrahim Sulaiman.

IPOH, 11 September 2022- Kepesatan Industri 4.0 kini akan lebih mencabar dengan pertembungan antara kebergantungan tenaga kerja manusia dan mesin robotik ciptaan manusia sendiri.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak Tahun 2022 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar, pagi ini.

"Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, kita perlu menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri yang berubah dengan pantas dan drastik.

"Graduan perlu berdaya saing dengan tahap kompetensi yang tinggi, berinformasi, selain memiliki kemahiran komunikasi yang tinggi," ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.

Tambahnya, melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, TVET 4.0 bermatlamat untuk menghasilkan graduan yang berkualiti.

"TVET 4.0 berteraskan bentuk pengajaran dan pembelajaran baharu, tadbir urus responsif dan mampan, pendekatan penyelidikan gunaan dan inovasi baharu serta bakat yang didorong teknologi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada 973 graduan daripada 13 buah Kolej Komuniti di Perak yang berjaya menerima Lulusan Diploma dan Sijil Kolej Komuniti.

Hadir sama, YBrs. Pengarah Kolej Komuniti Pasir Salak merangkap pengerusi kepada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak Tahun 2022, Puan Roziah Ismail; YBrs. Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Encik Rosless Yahya dan YBrs. Pengerusi Pengarah-Pengarah Perak, Encik Hj. Meor M. Sharifuddin Meor Shukri.

Turut berlangsung, penyampaian Anugerah Ketua Pengarah kepada Ibrahim Sulaiman dan Anugerah Usahawan Kolej Komuniti kepada Nur Amalya Faqihah Mat Zafri. Kedua-dua mereka memiliki kelulusan Diploma In Patisserie dengan Himpunan Purata Nilaian Mata (HPNM), 3.95.

Kini, Ibrahim Sulaiman sedang bekerja di La Vie En Rose Patisserie, Pulau Pinang manakala, Nur Amalya Faqihah Mat Zafri bekerja di Amalya Cake Garden, Kedah.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.