70 Peratus Aduan Selesai, Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Platform Terbaik Aduan Rakyat.

Orang awam mengambil peluang berjumpa dengan YAB Menteri Besar Perak.
IPOH, 13 September 2022- Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Perak sejak bulan Februari lalu telah berjaya menyelesaikan lebih 600 aduan daripada 873 aduan yang diterima.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, ia merangkumi 70 peratus aduan yang berkait rapat dengan bidang kuasa kerajaan negeri yang komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap masyarakat.
“Sepanjang enam siri program ini dijalankan, kerajaan negeri sudah menerima sejumlah 873 aduan dan sudah lebih 70 peratus daripadanya telah kita selesaikan serta diambil tindakan lanjut.
“Ini bermakna rakyat memahami bahawa mereka perlu datang ke sini bagi membuat aduan untuk kita selaraskan mengikut kapasiti kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 6/ 2022 di Stadium Indera Mulia, di sini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin serta YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, daripada aduan yang diterima, masalah berkaitan tanah merupakan aduan tertinggi yang telah diterima dengan kebanyakan mengenai status terkini permohonan dan alasan mengapa permohonan mereka ditolak.
“Terdapat juga aduan yang belum diselesaikan yang melibatkan urusan kerajaan persekutuan, namun kita tetap mendengar dan panjangkan kepada pusat.
“Contohnya seperti surat beranak serta masalah kerakyatan dan kerajaan negeri akan cuba membantu mereka ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, dalam siri keenam Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, sebanyak 118 aduan telah diterima dan sebahagiannya telah berjaya diselesaikan manakala bakinya akan selesai dalam tempoh ditetapkan oleh pihak jabatan atau agensi yang berkaitan.