Skip to main content

YB SUK Optimis Persediaan Barisan Hadapan Hadapi Bencana Monsun Timur Laut.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika menerima taklimat daripada wakil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak  

IPOH, 28 September 2022- YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim optimis dengan persediaan agensi-agensi penyelamat bagi menghadapi bencana.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak (JPBN) telah mengadakan lawatan Pemantauan Kesiapsiagaan Barisan Hadapan Dalam Menghadapi Bencana Monsun Timur Laut.

Lawatan pemantauan tersebut memberi fokus kepada pusat kawalan operasi agensi bagi mendapatkan gambaran pengoperasian sewaktu bencana dan tahap kesiapsiagaan agensi terlibat apabila menghadapinya.

YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim memulakan sesi lawatan tersebut dengan melawat bilik operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak di Kompleks Pejabat KDN, Bandar Meru Raya, di sini.

Kehadiran beliau telah diiringi oleh Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel (PA) Mohammad Azwani Kusnin yang turut sempat menyampaikan taklimat mengenai bilik operasi di sana.

Seterusnya, sesi lawatan tersebut diteruskan lagi dengan melawat Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Perak.

Hadir sama dalam lawatan tersebut Pengarah JPBM Perak, YS PKPjB Azmi Osman yang turut memberikan taklimat mengenai fungsi bilik pengoperasian dan juga langkah-langkah yang akan dilakukan apabila berhadapan dengan bencana.

Sesi lawatan tersebut diakhiri dengan melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Jalan Sultan Iskandar, di sini.

Setibanya YB Ahmad Suaidi Abdul Rahim di sana, beliau telah disambut baik oleh Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Dato’ Pahlawan Azizi Mat Aris dan terus dibawa melihat bilik operasi Jabatan Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNK A) IPK Perak.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Antara negeri yang akan terjejas adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Selangor.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.