Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengurusan Bencana Kepada Penghulu-Penghulu Negeri Perak.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri ketika menyampaikan ucapan.
IPOH, 29 September 2022- YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengurusan Bencana Kepada Penghulu-Penghulu negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Beliau merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak (JPBN) turut berpesan dalam ucapannya agar penghulu-penghulu melakukan persediaan yang terbaik di kawasan masing –masing.
“Program yang dirancang ini merupakan sesuatu yang penting kerana penghulu diibaratkan sebagai ketua barisan hadapan, oleh itu mereka perlu bersedia untuk bergerak bagi menghadapi bencana yang akan menjejaskan kawasan-kawasan mereka.
“Ini kerana mereka dilihat sebagai individu yang paling dekat dengan penduduk, jadi mereka lebih mengenali dan mengenalpasti rumah yang mempunyai orang tua atau orang kurang upaya (OKU) supaya dapat menghantar bantuan dengan secepat mungkin jika terjadinya bencana,” katanya.
Selain itu, taklimat tersebut bertujuan bagi memberi pendedahan dan pemakluman kepada para penghulu berkenaan kaedah pengurusan bencana, peranan setiap agensi dan jabatan dalam pengurusan bencana daerah.
Antara pengisian taklimat tersebut adalah mengenai ‘Forward Command Dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK)’ yang disampaikan oleh Inspektor Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), IPK Perak, Tuan ASP Khairul Nizam Ismail.
Seterusnya, sesi diteruskan lagi dengan taklimat oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah Muallim, Kapt. (PA) Shahrizal Hussin mengenai ‘Peranan Komuniti Dalam Pengurusan Bencana Setempat’.
Sesi tersebut bersambung lagi dengan taklimat mengenai ‘Siren Amaran Banjir’ yang disampaikan oleh YBrs. Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Puan Ir. Vasukey Palany Kumar.
Selanjutnya, sesi taklimat diteruskan dengan taklimat oleh YBrs. Pengarah Jabatan Meteorologi (MET), Encik Ibrahim Johari dengan tajuk ‘Ramalan Cuaca dan Tahap Amaran’.
Meneruskan lagi objektif program iaitu YBrs. Ketua Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Encik Zaini Abd Kadir dengan taklimat mengenai ‘Peranan Komuniti Pusat Pemindahan Sementara (PPS)’.
Akhir sekali, bagi menutup sesi itu, para penghulu yang hadir telah diberikan taklimat mengenai ‘SOP Kawalan Penyakit Berjangkit Semasa Bencana’ oleh Pegawai Epidemiologi Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Noor Rizawati Mahpot.
Sumber : Korporat, SUK Perak.