Sumber Perlu Digunakan Secara Optimum Dalam Menghadapi Banjir.

Encik Meor Hezbullah Meor Abdul Malik memberi penerangan kepada YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim
IPOH, 5 Oktober 2022- YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim menegaskan bahawa setiap sumber seperti makanan dan logistik perlu digunakan secara optimum dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka akan bermula awal November ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Taklimat Kesiapsiagaan Bencana di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, petang ini.
“Saya mengambil maklum peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan bencana banjir dan saya berharap usaha ini dapat diteruskan lagi ketika kita menghadapi Monsun Timur Laut nanti,” katanya.
Tambahnya lagi, semua pihak terutama di bilik gerakan bencana bagi setiap daerah perlu memperkemaskan lagi sistem komunikasi supaya setiap sumber seperti makanan dan logistik dapat digunakan secara optimum dan efisien.
Beliau turut bersetuju dengan penyediaan makanan menggunakan teknologi ‘Retort’ kepada mangsa bencana banjir semasa tempoh 24 jam pertama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menangani masalah logistik dalam penghantaran bekalan makanan.
Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Perak, Puan Hajah Nor Tipah Majin dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Encik Mohd Shabbri Othman.
Setelah itu, beliau meneruskan lagi lawatan ke Pejabat Daerah dan Tanah Kinta untuk mempengerusikan Taklimat Tahap Kesiapsiagaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kinta dalam menghadapi Monsun Timur Laut.
Menurutnya, persediaan ini perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas banjir.
“Di Perak, ada sungai yang perlu kita memberi tumpuan contohnya Sungai Pinji, Sungai Pari dan Sungai Klebang. Kerja-kerja mendalamkan atau melebarkan sungai perlu dilakukan dengan segera supaya apabila hujan lebat, kita tak nak air sungai ini melimpah,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah Meor Abdul Malik; Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Lee Swee Sake; Pegawai Kesihatan Daerah Kinta, Dr Asmah Zainal Abidin dan Penghulu Mukim Kinta Ipoh, Dr. Mohd Sani Kamaruddin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.