Sambutan Maulidur Rasul 1444H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan.
Baginda bertitah golongan belia wajib didampingi, suara dan pandangan perlu didengari serta difahami.
IPOH, 9 Oktober 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi ini.
Bertemakan ‘Meremajakan Gerakan Pembangunan Ummah’, baginda bertitah golongan belia wajib didampingi, suara dan pandangan mereka perlu didengari serta difahami selain kehadirannya diiktiraf agar dapat dilaksanakan program pembangunan ummah yang lebih kontemporari dan relevan dengan keperluan serta cabaran semasa.
"Sudah menjadi sunnah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi. Gerakan pembangunan ummah perlu dihembus nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari melalui usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan, seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat,” titah baginda.
Turut berangkat mengiringi baginda, DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa, DYTM Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), YABhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini; YBhg. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop Husin serta Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan pengurniaan penghargaan Johan Jurus Seni Silat Masjid-Masjid Negeri Perak 2022 kepada Seni Silat Gerakan Warisan Keramat Juang, Masjid Jamek Baru Gopeng.
Seterusnya, Anugerah Pegawai Masjid iaitu Anugerah Imam, Tuan Haji Md Sharafi Zakaria, Anugerah Bilal, Encik Abdul Latif Mohd Yusof dan Anugerah Siak, Encik Samsudin Arop.
Kemudian, Anugerah Tokoh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kepada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Perak.
Diikuti dengan Anugerah Pengamal Media kepada Ketua Biro Sinar Harian, Encik Saifullah Ahmad dan Anugerah Pendakwah kepada Ustazah Rokiah Man.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, plak serta sijil.
Yang terakhir adalah Anugerah Keluarga Mithali kepada Ustaz Ramli Yusof yang membawa pulang wang tunai RM5,000, plak serta sijil.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.