‘Sistem e-Penghulu’ Berjaya Merangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar.
Pejabat Penghulu Besar Negeri Perak berjaya merangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar
IPOH, 19 Oktober 2022 - Pejabat Penghulu Besar Negeri Perak membuat kejutan apabila projek inovasi mereka iaitu ‘Sistem e-Penghulu’ diumumkan sebagai pemenang yang berjaya merangkul Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB).
Kejayaan Pejabat Penghulu Besar Negeri Perak melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM20,000 daripada Kerajaan Negeri Perak dan RM30,000 daripada Perbadanan Menteri Besar (MBInc) menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai adalah RM50,000 serta sijil penghargaan dan piala iringan.
Penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad ketika Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Sistem e-Penghulu merupakan satu sistem yang sedang diguna pakai oleh semua Pejabat Penghulu Mukim di negeri Perak untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat dalam pelbagai jenis urusan. Kini, sistem ini menjadi penanda aras bagi negeri-negeri lain dalam mengukur tahap penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
Bagi memeriahkan lagi majlis, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut melancarkan logo baharu Park@Perak dan menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Mohamad Rasshuwan Sukawati sebagai johan pertandingan.
Pertandingan logo Park@Perak telah dilaksanakan pada 4 April sehingga 18 April 2022 bertujuan untuk menjenamakan semula logo yang lebih kontemporari bagi menonjolkan aspek dinamik dan futuristik serta mempromosikan aplikasi ini di seluruh Perak.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin dan YB Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Encik Khairul Shahril Mohamed.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.