Kerajaan Negeri Prihatin Terhadap Keperluan Mangsa Banjir.

Ahli mesyuarat bergambar bersama
TELUK INTAN, 21 Oktober 2022 - Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk memahami keperluan dan memudahcara mangsa-mangsa banjir.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Negeri Perak Bil.3/2022 yang dihadiri oleh pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), pagi ini.
“Saya memohon kerjasama antara jabatan dan agensi terutama ketika mengendalikan mangsa-mangsa banjir yang sedang cemas, risau dan sebagainya untuk memahami keperluan mereka. Oleh itu, segala urusan perlu dipermudahkan contohnya penggunaan borang-borang.
“Kita nak mengelakkan mereka mengisi terlalu banyak borang. Jika maklumat atau perkara tersebut adalah sama, memadailah jika kita hanya menggunakan satu borang sahaja,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menekankan mengenai kesiapsiagaan aset dan logistik di lapangan.
“Walaupun perkara ini kita telah tekankan beberapa kali, tetapi, maksud di sini adalah setiap aset perlu diselenggara dari semasa ke semasa untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik ketika berlakunya banjir dan operasi menyelamat berjalan dengan lancar.
“Ini juga termasuk keperluan lain seperti lampu sorot, jaket keselamatan dan minyak bot. Malah, setiap fasiliti di PPS seperti tandas dan surau juga perlu diteliti,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, beliau turut menegaskan mengenai penyelarasan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan pusat mengundi untuk mengelakkan pertindihan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Segala tarikh yang berkaitan dengan PRU15 telah diumumkan jadi saya memohon kepada semua pengerusi untuk segera membuat keputusan alternatif sekiranya berlaku pertindihan antara PPS dan pusat mengundi,” tegasnya.
Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YDH Ketua Polis Perak, CP Dato' Mohd Yusri Hassan Basri; Yang Dipertua MPTI, Encik Hizaz Mohd Ibrahim dan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.