Skip to main content

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Berkenan Berangkat Ke Majlis Santapan Kemuncak 100 Tahun UPSI.

Baginda berkenaan menyatuni para hadirin di majlis berkenaan

TANJUNG MALIM, 1 Disember 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan 'Seluhur Budi Sekalung Kasih' sempena Kemuncak 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Keberangkatan tiba pasangan diraja pada jam 8.50 malam itu disambut oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad dan isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin serta YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Naib Canselor UPSI, Profesor Dato' Dr Md Amin Md Taff.

Menurutnya, tarikh keramat pusat pengajian ini adalah pada 29 November 1922 bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) dan kemudiannya, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada tahun 1957 dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada tahun 1987 sebelum dinaik taraf ke UPSI pada tahun 1997.

Tambahnya lagi, sepanjang penubuhan UPSI, ramai tokoh-tokoh kepemimpinan, kebahasaan, kesusasteraan, keusahawanan dan kesukarelawanan dilahirkan sekali gus mengharumkan nama institusi yang dikenali sebagai ‘Ibu Kandung Suluh Budiman’.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan melancarkan setem komemoratif 100 tahun UPSI dengan kerjasama Pos Malaysia serta syiling edisi khas kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Setem khas yang dihasilkan dengan tema ‘Terbilang Merentasi Empat Zaman’ bagi tujuan Sambutan 100 Tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI adalah untuk mengenang sumbangan dan jasa UPSI kepada pendidikan negara.

Setem tersebut telah dikeluarkan pada 30 November lalu dengan harga RM33.80 dan ia boleh didapati di seluruh Pejabat Pos Malaysia.

Baginda turut berkenan melancarkan setem komemoratif 100 tahun UPSI dengan kerjasama Pos Malaysia serta syiling edisi khas kerjasama Bank Negara Malaysia.

Sumber : Korporat, SUK Perak.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 30 Mei 2025, 05:40:16.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.