DYMM Paduka Seri Sultan Perak Titah Pemimpin Negeri Laksanakan Tanggungjawab Dengan Ikhlas Dan Adil.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika menyampaikan Titah Diraja
IPOH, 20 Disember 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar pemimpin Kerajaan Negeri Perak yang dilantik supaya menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama mengikut perlembagaan serta berlandaskan undang-undang.
Baginda menitahkan, mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat untuk menjadi ahli Dewan Negeri merupakan suatu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipenuhi, serta menuntut pengorbanan yang besar.
“Penuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan perlembagaan, berteraskan undang-undang. Jauhi sifat-sifat angkuh dan bongkak dengan tidak mengamalkan budaya yang menang, menang semua.
“Sebaliknya, mereka hendaklah bersifat adil dalam mengagihkan peruntukan dan melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis, diskriminasi dan penindasan kepada mana-mana pihak, kerana setiap pengundi ialah makhluk Ilahi dan setiap inci bumi di negeri ini terletak di bawah naungan takhta pemerintahan Beta.
“Oleh itu rakyat jangan dihukum untuk menanggung kesusahan, di sebaliknya dengan menjunjung semangat demokrasi, kepentingan dan kebajikan setiap rakyat jelata hendaklah berada di hati pemimpin dan senantiasa diutamakan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
DYMM Sultan Nazrin Shah bertitah lagi bahawa rakyat memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap untuk membolehkan kegiatan ekonomi kembali rancak.
“Rakyat mahukan kerajaan yang berupaya dan bertenaga untuk mentadbir urus negara membawa pertumbuhan ekonomi yang bermakna selain itu rakyat mahukan kerajaan yang bijak mengurus sumber-sumber negeri, dan tegas mengawal ketirisan dan kebocoran sumber, serta bersungguh mengelakkan pembaziran.
“Amatlah penting untuk kerajaan Beta mendengar dan memahami keresahan yang sedang dihadapi rakyat, antaranya pengangguran, kos sara hidup yang tinggi, jaminan bekalan dan keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar, juga kemudahan-kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan serta perhubungan awam dan komunikasi digital yang berkualiti.
“Oleh itu kerajaan Beta akan memikirkan langkah-langkah strategik bersama Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang meyakinkan semoga dapat menambah peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup rakyat, serta mengikhtiarkan langkah yang dapat menjamin bekalan dan keselamatan makanan, juga menambah baik kemudahan-kemudahan sosial dan perkhidmatan. Penuhilah harapan rakyat, penuhilah amanah rakyat,” titah baginda.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.