Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Sempurna Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak ketika memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama.

IPOH, 20 Disember 2022- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Keberangkatan baginda bersama DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim kira-kira jam 10.30 pagi telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, YB Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohamad Zahir Dato’ Abdul Khalid serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Sebaik keberangkatan tiba baginda di Dataran SUK Perak, Pancaragam Akademi Tentera Udara Diraja Malaysia, Ipoh dibawah pimpinan Leftenan Mohd Hanif Che Razak memainkan lagu kebesaran negeri Perak.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kemudiannya berkenan mencemar duli memeriksa perbarisan Pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 orang anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama, Pasukan Gerakan Am, Briged Utara, Ulu Kinta.

Kawalan Kehormatan Utama tersebut telah diketuai oleh DSP Mohamad Rafizul Rosdi dan ASP Mohd Al-Hakim selaku pegawai pemeriksa.

Usai memeriksa Kawalan Kehormatan Utama, DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan DYMM Tuanku Zara Salim seterusnya berangkat masuk ke Dewan Mesyuarat bagi menzahirkan titah ucapan perasmian baginda sempena Tahun Pertama, Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.