Majlis Malam Media Perak Bersama YAB Menteri Besar Perak Tahun 2023.

Saya amat teruja untuk hadir meraikan sahabat media kerana media sangat penting dalam kerjaya saya.
IPOH, 28 Januari 2023- Majlis Malam Media Perak Bersama YAB Menteri Besar Perak Tahun 2023 berlangsung dalam suasana meriah di Laman Seri Ridzuan dengan menghimpunkan lebih 80 pengamal media daripada hampir 25 agensi, malam ini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad yang hadir bersama isteri, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir berkata, petugas media memainkan peranan penting dalam kerjaya beliau setelah dua dekad berkecimpung dalam dunia politik.
“Saya amat teruja untuk hadir meraikan sahabat media kerana media sangat penting dalam kerjaya saya. Setiap hari rakan media bersama saya untuk mengejar berita dan cuba menjadi media pertama yang mengeluarkan berita. Jadi, ia amat penting dalam hidup bersama.
“Saya berterima kasih kepada semua media sama ada ia adalah tulisan provokasi atau penulisan yang positif, ia tetap banyak membantu saya untuk memahami perjalanan kerjaya saya dalam bidang ini,” jelasnya.
Malah, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Encik Sayed Mohd Hesyam Sayed Idris berharap penganjuran malam media ini akan menjadi titik tolak kepada hubungan lebih erat bukan sahaja antara media dengan kerajaan tetapi dalam menjaga kebajikan petugas media itu sendiri.
Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Encik Mohd Azlan Helmi bin Helmi; YBrs. Pengarah Jabatan Penerangan Perak, Encik Mohd Rizal Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Encik Anuar Zainal Abidin dan YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Majlis dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan cenderahati bagi rakan-rakan media yang berkahwin atau mendapat cahaya mata dalam tempoh tahun 2020 sehingga 2022 serta pertandingan fotografi merdeka #PERAKSEJAHTERA dan pertandingan fotografi wajah MB #PERAKSEJAHTERA.
YAB Dato' Seri Saarani Mohamad turut menyampaikan sumbangan khas dana perubatan kepada anak jurugambar sambilan Muhamad Nazreen Syah iaitu adik Aina Afieyah, 6 tahun yang mengalami penyakit kulit rapuh sejak kelahiran dan rawatan perubatannya mencecah RM5,000 sebulan.