Skip to main content

Majlis Dialog Belanjawan 2023 Tumpu Isu Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Dan Kebajikan Orang Asli.

YB Datuk Seri Haji Ahmad Maslan bersama YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad ketika Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Perak.

IPOH, 9 Februari 2023- Masalah penyelenggaraan jalan Persekutuan dan kebajikan Orang Asli perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini.

YB Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Haji Ahmad Maslan berkata demikian ketika Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Menurutnya, bagi jalan negeri dan jalan kampung, peruntukan bagi tujuan itu agak mencukupi, masing-masing disalurkan melalui Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Jalan Persekutuan kurang diselenggara dan ini antara perkara utama ditimbulkan pihak yang bertanya termasuk EXCO kerajaan negeri. Kita harap Kementerian Kerja Raya beri tumpuan terhadap perkara ini.

“Ada masa lagi untuk beri peruntukan yang dimohon, contohnya bagi Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley dan Jalan Tapah-Ringlet. Jalan Persekutuan itu kurang diberi tumpuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kebajikan kepada masyarakat Orang Asli juga antara perkara yang dibangkitkan semasa sesi dialog itu, ia meliputi kaedah meningkatkan bantuan perumahan kepada golongan terbabit.

Hadir sama, Ketua Seksyen Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia, Encik Ezleezan Othman serta 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh 300 orang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan NGO dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.

Perak merupakan lokasi terakhir bagi jelajah Majlis Dialog Belanjawan 2023 selepas Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Terdahulu, YB Datuk Seri Haji Ahmad Maslan turut mengadakan sesi kunjung hormat bersama YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.