Kerajaan Perak Beri Perhatian Isu Kemiskinan Haid.

YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat Dan Pembangunan Usahawan Negeri ketika menyampaikan ucapan.
IPOH, 9 Februari 2023- Kerajaan Negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Wanita Dan Masyarakat Negeri (Wanita Perak) telah mengambil inisiatif dalam memberi fokus terhadap isu kemiskinan haid di negeri ini.
YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat Dan Pembangunan Usahawan Negeri, Puan Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri telah melancarkan Program Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita Negeri Perak (PROKiS) dan program tersebut akan diadakan di 12 daerah di negeri ini.
“Bagi tahun 2023, PROKiS akan menumpukan penerima dari kalangan pelajar-pelajar yang layak di negeri ini melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.
“Program tersebut juga bertujuan bagi membantu meringankan beban golongan wanita dan remaja dibawah B40 yang mengalami kemiskinan haid di negeri Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program Pembasmian Kemiskinan Haid: Pemberian Kit Asas Sanitari Wanita (PROKiS) Negeri Perak di Dewan Aspirasi, SMK Raja Chulan, di sini.
Hadir sama, YBrs. Pengarah Wanita Perak, Puan Jamilah Zakaria; YBrs. Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) JPN Perak, Tuan Zulkafli Mohamed Mokhtar; YBrs. Pegawai Turus D11 (Siasatan Seksual Wanita Dan Kanak-Kanak) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta YBrs. Pengetua SMK Raja Chulan, Tuan Haji Jamil Dayan.
Ujar YB Salbiah Mohamed lagi, kerajaan negeri turut menjalankan satu kerjasama smart partnership bersama JPN Perak bagi menjalankan program-program dan kempen yang bagi membendung dan mengatasi masalah gangguan seksual, penderaan serta pendedahan ilmu penjagaan sistem reproduktif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di sekolah.
“Kerjasama tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak ke arah “Sekolahku Sejahtera” yang berkonsepkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.
“Program itu turut digerakkan secara bersama oleh PDRM Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak yang akan turun ke sekolah-sekolah terpilih di seluruh negeri Perak bagi menyampaikan maklumat kesedaran kepada pelajar, ibu-bapa dan guru berkenaan tips keselamatan diri, sentuhan selamat dan tidak selamat, jenayah pornografi dan lain-lain,” ujarnya lagi.