Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 1.

YAB Menteri Besar Perak ketika mendengar aduan pengunjung yang hadir.
IPOH, 16 Februari 2023- Kerajaan negeri termasuk jabatan dan agensi terus komited membantu rakyat dalam menyelesaikan apa jua masalah yang dihadapi mereka pada Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Tahun 2023 Siri 1.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk meneruskan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak yang akan dilakukan pada setiap hari Khamis, minggu kedua setiap bulan.
"Kita meneruskan Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan ini dengan tujuan memberi peluang kepada orang ramai khususnya rakyat negeri Perak untuk berjumpa sendiri dengan saya, pengurusan tertinggi kerajaan negeri, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan dan agensi negeri.
"Selain itu, ada cadangan yang sedang dikaji untuk diadakan program ini secara berselang seli di peringkat daerah bagi memudahkan penduduk di setiap daerah negeri ini untuk menyuarakan masalah mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 1 di Stadium Indera Mulia, di sini.
Hadir sama YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Ujar YAB Dato' Seri Saarani Mohamad lagi, pada program kali ini terdapat sedikit perbezaan di mana kita telah selitkan Program Jualan Produk Usahawan Perak.
"Program tersebut merupakan kerjasama kerajaan negeri bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) serta Jabatan Pertanian Negeri yang memberi peluang kepada rakyat untuk membeli hasil pertanian dan barangan makanan dengan harga yang murah.
"Program ini telah bermula pada semalam (Rabu) dan ia menerima sambutan yang amat baik, begitu juga pada hari ini di mana para pengunjung yang ramai telah hadir bagi membeli barangan mentah segar antaranya ayam yang dijual dengan harga RM6.00 seekor dan telur yang dijual dengan harga RM10.00 sepapan," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 1, sebanyak 102 kaunter khidmat pelanggan, 17 pameran, 5 pameran tambahan dan 7 kaunter bergerak telah disediakan buat para pengunjung.
Pada siri ini, 122 aduan telah diterima dan aduan paling tinggi adalah berkaitan dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) iaitu dengan 25 aduan diterima.
Sumber : Korporat, SUK Perak.