Skip to main content

Pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 Dan Sesi Penyampaian Hadiah Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022.

YAB Menteri Besar Perak ketika menyaksikan penyerahan tawaran tawaran kemudahan pembiayaan perdagangan oleh Agrobank kepada Eurofresh Sdn Bhd.

IPOH, 16 Februari 2023- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah menyempurnakan pelancaran Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022 sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Negeri Perak 2023 Siri 1 yang berlangsung diperkarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Penganjuran kedua-dua pertandingan melibatkan kerjasama antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Agrobank, Jabatan Pertanian Negeri Perak, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Pertandingan tersebut merupakan hasil daripada ilham atau cetusan idea daripada YAB Dato’ Seri Saarani  Mohamad yang sentiasa menggalakkan rakyat negeri Perak untuk membudayakan aktiviti bercucuk tanam bagi mengurangkan perbelanjaan harian dalam mendepani peningkatan kos sara hidup.

Selain itu, melalui penganjuran pertandingan tersebut, ia memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri Perak melalui jabatan dan agensi pertanian dalam mendukung komuniti Agro yang terdiri daripada pelbagai latar belakang untuk terus mempromosikan konsep pertanian lestari dan pintar sekaligus menyokong usaha kerajaan menggalakkan pertanian bandar menerusi pemerkasaan “Dasar Kebun Komuniti Bandar”.

Bagi Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023 dan Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022 jumlah keseluruhan hadiah wang tunai ditawarkan adalah sebanyak RM36,000 beserta plak dan sijil yang diselaraskan melalui kerjasama antara Perak SADC, Agrobank, Jabatan Pertanian Negeri Perak, JAIPk serta MAIPk.

Untuk Pertandingan Urban Farming Masjid/Surau 2023, penyertaan masih dibuka sehingga 28 Februari 2023 kepada mana-mana komuniti masjid/surau di seluruh Negeri Perak yang berminat untuk menyertai pertandingan ini.

Manakala bagi Pertandingan Edu Farming Sekolah 2022, ia telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A (Sekolah Menengah) dan Kategori B (Sekolah Rendah). Sebanyak 16 buah sekolah dari daerah Kinta Utara, Kinta Selatan, Perak Tengah dan Kerian telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini membabitkan dua kategori iaitu Kategori A (Sekolah Menengah) dan Kategori B (Sekolah Rendah).

Bagi Kategori A (Sekolah Menengah), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Idris Shah, Gopeng telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM6,000 beserta plak dan sijil manakala naib juara disandang oleh SMK Gunung Semanggol yang membawa pulang RM4,000 beserta plak dan sijil. Tempat ketiga pula dimenangi oleh SMK Sri Kurau dengan hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 beserta plak dan sijil.

Untuk Kategori B (Sekolah Rendah), kejuaraan disandang oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak yang membawa pulang RM6,000 beserta plak dan sijil. Naib johan pula diraih oleh SK Marian Convent yang membawa pulang RM4,000 beserta plak dan sijil manakala kedudukan ketiga menjadi milik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Siputeh dengan hadiah wang tunai bernilai RM2,000 beserta plak dan sijil.

Dalam majlis tersebut juga, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad berkesempatan untuk menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) Akademi Sekuriti Makanan (Penubuhan Dana Endowment) di antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Institut Darul Ridzuan (IDR).

Selain itu beliau juga turut menyaksikan penyerahan tawaran kemudahan pembiayaan perdagangan oleh Agrobank kepada Eurofresh Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).

Hadir sama pada majlis tersebut, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Mohd Zolkafly Harun; YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Tuan Haji Yahanis Yahya serta YBrs. Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Puan Norsiyenti Othman.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.