Program Sehari Bersama YB SUK : Daerah Kampar.

YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim bersama Encik Nazrul Fazami Mohamad.
IPOH, 23 Feb 2023- Setiap penjawat awam perlu mempunyai sifat empati untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata demikian ketika beliau menyampaikan ucapan di Pejabat Daerah dan Tanah Kampar sempena Program Sehari Bersama YB SUK.
“Satu perkara yang menarik apabila kita mendengar amanat YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, adalah perkataan empati.
“Empati ialah bagaimana cara kita menguruskan sesuatu hal, kita meletakkan diri kita di denyut nadi rakyat. Ia bukan rasa simpati tetapi rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Malah, perkataan ini menjadi penting untuk pengurusan pada zaman kini. Sekarang ini, masyarakat semakin hari semakin terdedah dengan teknologi yang boleh akses pelbagai persepsi.
“Seharusnya, kita elakkan segala persepsi buruk terhadap penjawat awam dan berikanlah perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat yang memerlukan kita.
“Sebagai contoh, apabila pelanggan datang kepada kita atas urusan permohonan tanah dan tanah tersebut telah diwartakan sebagai tanah rizab. Kita perlu memberi penjelasan yang berhemah kepada pelanggan tersebut. Tidak wajar sekiranya kita membiarkan permohonan tersebut dibiarkan untuk tempoh yang lama tanpa sebarang keputusan kepada pemohon,” jelasnya.
Menurutnya, lawatan kerja ini bertujuan untuk meneliti keberhasilan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan negeri yang telah dilancarkan. Pertemuan ini juga supaya setiap pihak dapat berkongsi pandangan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam.
Kemudiannya, beliau meluangkan masa untuk melawat Ilham Seni@Kampar, tapak kuarters Ketua Penolong Pegawai Daerah, Hospital Kampar, Bandar Agacia, Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman dan Pejabat Penghulu Mukim Teja.
Hadir sama, YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Norsham Rahman; YBrs. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Puan Halizah Sipun; Pegawai Daerah Kampar, Encik Nazrul Fazami Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Encik Ahmad Suqairy Alias.
Sumber : Korporat, SUK Perak.