Skip to main content

Program Jelajah Hari Usahawan Perak 2023 Pemangkin Usahawan Perak.

Tetamu bergambar bersama usahawan yang berjaya menerima bantuan kerajaan negeri.

GERIK, 25 Feb 2023 - Program Jelajah Hari Usahawan Perak 2023 yang dianjurkan oleh kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan akan jerayawara ke seluruh negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata demikian ketika merasmikan program tersebut di Arena Datuk Hasbullah, pagi ini.

“Kita akan buat roadshow ke seluruh negeri Perak daripada satu daerah ke satu daerah lain dan hari ini kita bermula dengan daerah Hulu Perak. Selepas ini, destinasi kita yang seterusnya adalah daerah Muallim.

“Kita menghimpunkan lebih 40 agensi usahawan dan bank yang memberi pelbagai bantuan geran, pinjaman dan program bimbingan untuk para usahawan. Malah, anda juga boleh berkunjung ke lebih 50 gerai jualan produk usahawan Hulu Perak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, program yang berlangsung selama dua hari bermula 25 Februari sehingga 26 Februari 2023 ini bertujuan untuk memberi peluang kepada usahawan untuk memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai terutama penduduk di kawasan sekitar.

“Program ini untuk mengetengahkan produk usahawan kepada orang ramai di samping memberi dorongan dan motivasi kepada orang lain untuk menjadi usahawan juga kerana seperti saya sentiasa berpesan, setiap usahawan perlu ada 5D.

“5D tersebut adalah dorongan, daya usaha, dedikasi, disiplin dan doa. Saya percaya, dengan adanya tekad dan azam yang kuat terhadap setiap perkara yang kita lakukan, hasilnya pasti akan luar biasa. Insha-Allah.

“Ini juga dapat melahirkan usahawan yang mempunyai kepelbagaian serta nilai tambah kepada sesuatu produk,” katanya.

Beliau berharap inisiatif ini akan menjadi pemangkin untuk menyemarakkan usahawan di negeri Perak.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Puan Salbiah Mohamed; YB Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Encik Teh Kok Lim dan YBrs. Pengurus Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Tuan Hj. Yahanis Yahya.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.