Skip to main content

Kerajaan Negeri Biayai 10 Bahan Ilmiah Berkaitan Cabaran Dan Isu Di Negeri Ini.

Menurut beliau, penerbitan itu juga bakal meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai senario semasa yang dihadapi negeri Perak.

IPOH, 1 Mac 2023- Kerajaan negeri melalui Institut Darul Ridzuan (IDR) menggerakkan inisiatif penerbitan 10 bahan ilmiah berkaitan cabaran dan isu di negeri ini serta dijadikan bahan rujukan oleh pemegang taruh bahkan pelaksana bagi merealisasikan pelan Perak Sejahtera 2030.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata penerbitan 10 buah buku tersebut akan dibiayai oleh kerajaan negeri menerusi geran bernilai RM230,000 yang diagihkan kepada pemain industri serta pakar-pakar dari pelbagai universiti tempatan.

Menurut beliau, penerbitan itu juga bakal meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai senario semasa yang dihadapi negeri Perak.

“Melalui geran penerbitan berkenaan, IDR akan memfokuskan kepada 10 buah buku dengan tema-tema seperti Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU), Masyarakat Menua, TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) dan Migrasi.

“Tema lain termasuklah Kemiskinan dan Kesihatan, Kesihatan dan Kesejahteraan, Sekuriti Makanan dan Kelestarian Alam, Ekonomi Digital serta Analisis Data Raya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Penerbitan Perak Sejahtera 2030 yang dihadiri wakil-wakil institusi pengajian tinggi yang terlibat seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut melancarkan Bulan Wanita Perak, inisiatif yang julung kali diadakan sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.

Selaras pelancaran itu, pelbagai program akan dijalankan bermula hari ini hingga 19 Mac, iaitu tarikh sambutan rasmi Hari Wanita Peringkat Negeri Perak, yang bakal menghimpunkan kira-kira 2,000 wanita di Laman Seri Ridzuan.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Puan Salbiah Mohamed; Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Jamilah Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Maisarah Ahmad.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.