Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 2: Daerah Perak Tengah.

Pada tahun ini, Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan ini akan diadakan secara berselang-seli di Stadium Indera Mulia, Ipoh dan kemudiannya jelajah ke daerah-daerah lain.
PARIT, 2 Mac 2023- Daerah Perak Tengah menjadi destinasi pertama dalam Siri Jelajah Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan tahun ini bertujuan memberi ruang penduduk setempat bertemu barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan ketua jabatan negeri serta daerah bagi menyelesaikan aduan masing-masing.
Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, sepanjang sesi pertemuan itu, sebanyak 170 aduan direkodkan dengan aduan tertinggi menerusi kaunter Menteri Besar dan Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah.
“Pada tahun ini, Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan ini akan diadakan secara berselang-seli di Stadium Indera Mulia, Ipoh dan kemudiannya jelajah ke daerah-daerah lain.
“Jelajah ini dilaksanakan agar dapat memberi ruang dan peluang kepada penduduk sekitar untuk bertemu dengan barisan kepimpinan kerajaan negeri sekali gus memberi penyelesaian kepada aduan dan masalah yang dihadapi.
“Walaupun, sebenarnya kita nak memberi peluang kepada rakyat tempatan tetapi tadi ramai juga yang datang daripada luar daerah sini. Seperti biasa, kita bertanggungjawab untuk melayani mereka tidak kira mereka dari kawasan sekitar Perak ataupun dari luar negeri Perak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Tahun 2023 Siri 2 di Arena Square Parit, petang ini.
Pada siri kali ini, sebanyak 120 kaunter khidmat pelanggan, 9 pameran, 4 perkhidmatan kaunter bergerak serta beberapa khemah jualan produk usahawan telah disediakan buat para pengunjung.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.
Dalam majlis sama, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad turut menyampaikan bantuan wang ihsan RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada 151 penduduk di Mukim Belanja, Layang dan Bota yang terkesan akibat banjir pada November tahun lalu.
Beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan bot penumpang (aktiviti pelancongan) daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) kepada Majlis Daerah Perak Tengah.
Sumber : Korporat, SUK Perak.