Skip to main content

Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Negeri Perlu Bersepadu Dalam Menguruskan Sumber Air.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia.

IPOH, 11 Mac 2023- Sinergi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri harus diperkuatkan dalam pengurusan sumber air secara bersepadu.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia, tengah hari ini.

“Air adalah sangat penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial kerana ia mempengaruhi persekitaran yang sihat, membina kawasan sesuai untuk bercucuk tanam serta menyokong ekosistem semula jadi seperti hutan atau tanah lembap.

“Malah, ia memacu industri, mewujudkan pekerjaan dan menyentuh setiap aspek pembangunan,” jelasnya.

Beliau turut menyeru semua pihak berkepentingan agar memberi tumpuan dalam mengambil tindakan yang bersesuaian dan berterusan.

“Kita harus memberi fokus yang bermatlamatkan kepada pengurusan sumber air negara secara lestari dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.

Tambahnya lagi, setiap pihak perlu berperanan sebagai agen perubahan untuk memberi manfaat kepada orang ramai.

“Tidak ada pekerjaan yang lebih baik selain daripada membawa perubahan, pesatkan perubahan, pemesatan perubahan.

“Ini lah saya maksudkan konteks perubahan, selamatkan alam sekitar, kehijauan, bekalan air kita dan menguruskan sumber asli dengan baik supaya dapat memberi manfaat kepada orang ramai,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan Anugerah Wadi Air Bawah Tanah kepada Lembaga Air Perak.

Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada operator air yang menggunakan air bawah tanah sebagai sumber bekalan air bersih secara konjungtif.

Hadir sama, YB Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin; YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad; YB Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato' Sri Huang Tiong Sii; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YBhg. Dato’ Haji Rosli Isa; YBrs. Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan), Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr. Ching Thoo A/L Kim; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, YBhg Dato’ Ir. Dr. Md. Nasir Md. Noh.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.