Skip to main content

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Anugerahkan Darjah Kebesaran, Pingat Kepada 181 Penerima.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak bersama DYMM Raja Permaisuri Perak berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Tahun 2022.

KUALA KANGSAR, 11 Mac 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak Tahun 2022 di Istana Iskandariah, di sini.

Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa; DYTM Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah; DYAM Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang- Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Pada isitiadat tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan untuk menganugerahkan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada 181 orang penerima.

Sementara itu, istiadat penganugerah pada kali ini melibatkan lima penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM); 23 penerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP); Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) seramai 16 orang penerima; Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) seramai 42 orang; Pingat Pekerti Terpilih (PPT) 46 orang, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) seramai 40 orang dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) seramai sembilan orang.

Antara penerima pada isitiadat kali ini adalah, YBrs. Pengarah Pendidikan Negeri, Tuan Aznan Alias; YBrs. Ketua Jabatan Psikiatrik Hospital Taiping, Dr. Eni Rahaiza Muhamed Ramli; YBrs. Pakar Patologi Pergigian 94 Hospital Angkatan Tentera, Brigedier Jeneral Dr. Hazudin Hassan; YBrs. Marsyal Provos Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kepten Roslee Mohamad Isa dan YBrs. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Melaka,Dr Ruzita Mustaffa yang dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Manakala bagi Anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) telah dikurniakan kepada YBrs. Jurutera Lembaga Air Perak, Encik Amarudin Ahmad Barkat; YBrs. Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Encik Kamaruzzaman Kamari; YBrs. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, ACP Lee King Chuan serta YBrs. Pegawai Daerah Kinta, Encik Meor Hezbullah Meor Abd. Malek.

Dalam perkembangan sama, istiadat kali ini merupakan sebahagian daripada 212 penerima yang diumumkan pada 3 Nov 2022.

Pada 4 Mac lalu, YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 22 individu yang menerima darjah kebesaran dan pingat tersebut.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.