Skip to main content

Kaum Wanita Adalah Tonggak Utama Keluarga, Masyarakat, Negeri Dan Negara.

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad berkesempatan melakukan tinjauan jualan usahawan ketika sambutan pada hari tersebut.

IPOH, 19 Mac 2023- YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak Tahun 2023 di Laman Seri Ridzuan, pagi ini.

Dalam ucapannya, beliau berterima kasih untuk segala cinta, kasih sayang, pengorbanan dan sumber kekuatan yang diberikan oleh kaum wanita dalam menjadi tonggak utama keluarga, masyarakat, negeri dan negara ini.

“Sambutan ini adalah untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada golongan wanita yang telah menyumbang bakti serta berperanan penting dalam pembangunan negeri Perak dan Malaysia.

“Dunia ini menjadi lebih baik dengan hadirnya wanita. Tidak kira apa latar belakang keluarganya, agamanya ataupun pekerjaannya.

“Setiap wanita memberikan erti bagi tiap-tiap insan dalam kehidupan ini. Tanpa mereka mungkin hidup kita tidak semakna ini,” jelasnya.

Terdahulu, isterinya, YABhg. Datin Seri Aezer Zubir telah melakukan pelepasan kepada lebih 900 orang yang memeriahkan aktiviti Fun Walk bertemakan ‘Sejahtera Bersama’ sempena Sambutan Hari Wanita kira-kira jam 7.40 pagi.

Antara aktiviti lain yang turut memeriahkan majlis tersebut adalah pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertandingan hiasan kek cawan.

Hadir sama, YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Jenny Choy Tsi Jen; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan, Puan Salbiah Mohamed dan Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Jamilah Zakaria.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Jumaat 30 Mei 2025, 05:40:16.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.