Kerajaan Negeri Lancar MyPATIL, Bakal Diguna Pakai 15 PBT Mulai 2023

YAB Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan
IPOH, 21 Mac 2023- Kerajaan Negeri Perak fokus dalam menyahut cabaran teknologi dengan menjadi negeri pertama melaksanakan inisiatif pendigitalan lesen perniagaan (myPATIL) yang akan dilaksanakan oleh kesemua 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Perak mulai tahun 2023.
YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata, myPATIL ialah lesen premis perniagaan berasaskan internet of things yang telah mula dipelopori oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sejak tahun 2021.
“myPATIL bertujuan bagi memudahkan para peniaga memperolehi dan memperbaharui lesen premis perniagaan tanpa perlu hadir ke kaunter PBT.
“Aplikasi pintar ini juga bertindak sebagai forum komunikasi pihak PBT dengan pemegang lesen yang mampu menjimatkan masa dan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Kolokium Kerajaan Tempatan Negeri Perak Darul Ridzuan (KKT Perak) Tahun 2023.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Kerajaan Negeri; barisan Ahli Dewan Negeri; YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bahrin serta Yang Dipertua-Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Daerah Negeri Perak.
Ujar YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad lagi, teknologi data dari sistem myPATIL juga telah berjaya membendung salah laku pemalsuan lesen dan menangani ketirisan yang telah lama menjadi isu integriti dalam penguatkuasaan PBT selama ini.
“Sebagai contoh, premis-premis peniagaan di Manjung sudah tidak perlu lagi memaparkan lesen perniagaan bercetak, kerana semua data pelesen dan aktiviti perniagaan boleh dipantau terus melalui sebuah cip digital.
“Cip tersebut akan disimpan dalam premis dan terpaut kepada aplikasi yang dikawal secara real-time atas talian dari gajet pintar setiap pegawai yang diberi kuasa,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, setelah dua tahun pelaksanaannya yang berjaya membuktikan keberkesanan perkhidmatan teknologi tersebut, Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju melaburkan lebih RM2 juta sebagai sokongan kepada PBT-PBT Negeri Perak bagi melaksanakan inisiatif myPATIL pada tahun ini.
Sumber : Korporat, SUK Perak.