DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Berbuka Puasa, Rasmi Masjid Al-Ikhwan.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak berkenan bergambar bersama barisan pentadbiran kerajaan negeri dan jawatankuasa Masjid Al-Ikhwan.
TANJUNG MALIM, 30 Mac 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al-Ikhwan di Taman Bernam Baru, di sini.
Ketibaan baginda pada jam 6.50 petang telah disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang- Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YBhg. Mufti Negeri Perak, SS Dato’ Hj. Wan Zahidi Wan Teh serta YBrs. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), SF Tuan Hj. Harith Fadzilah Hj. Abdul Halim.
Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok tanjung atau Mimusops Elengi dan seterusnya membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid tersebut.
DYMM Paduka Seri Sultan Perak seterusnya mencemar duli berbuka puasa bersama lebih 500 orang jemaah dan menunaikan solat Maghrib sebelum berkenan berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat Terawih.
Baginda berangkat pulang kira-kira jam 9.50 malam selepas sesi bergambar bersama tetamu jemputan serta jawatankuasa masjid.
Dalam perkembangan sama, Masjid Al-Ikhwan telah siap dibina pada bulan Oktober 2020 dengan kos pembinaan bernilai RM6.6 juta dan mampu memuatkan 1,500 orang jemaah dengan pelbagai kemudahan disediakan antaranya parkir, bilik tamu, internet serta peralatan rakaman siaran langsung berdefinisi tinggi.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.