Skip to main content

Program Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk, Forum Perdana Dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Dan Media Perak.

Bubur lambuk tersebut turut diedarkan di sekitar kawasan Taman Cempaka, Pangsapuri Seri Kinta, Pasaraya TF Falim, Stadium Indera Mulia dan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

IPOH, 30 Mac 2023 - Sebanyak 8,000 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada orang ramai sempena Program Gotong Royong Memasak Bubur Lambuk, Forum Perdana dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Media Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad hadir bagi menyampaikan bubur lambuk tersebut di sekitar kawasan Pangsapuri Jalan Ashby, petang ini.

“Program anjuran Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak telah memulakan kerja memasak bubur lambuk ini sejak awal pagi lagi.

“Alhamdulillah, kita berkesempatan menyampaikan bubur lambuk kepada penduduk sekitar sini termasuk kanak-kanak Sekolah Rendah Agama Al-Islah Addiniah.

“Kemudian, kita akan mengadakan sesi forum perdana dan penyampaian duit raya kepada anak-anak yatim diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isya’ dan Tarawih di Laman Seri Ridzuan,” jelasnya.

Hadir sama, YBrs. Pengurus Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Tuan Haji Yahanis Yahya; YBrs. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Encik Anuar Zainal Abidin dan Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak, Encik Azam Abdul Majid.

Bubur lambuk tersebut turut diedarkan di sekitar kawasan Taman Cempaka, Pangsapuri Seri Kinta, Pasaraya TF Falim, Stadium Indera Mulia dan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Bagi sesi forum perdana yang bermula kira-kira jam 5.00 petang di Laman Seri Ridzuan, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Tuan Haji Harith Fadzilah Haji Abdul Halim telah menjadi moderator.

Penceramah yang terlibat bagi sesi berkenaan adalah Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Ijam Medicine.

Majlis diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib, Isya’ dan Tarawih berjemaah.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.