Skip to main content

Majlis Berbuka Puasa Rahmah Ramadan Bersama YAB Perdana Menteri.

YAB Perdana Menteri ketika menyantuni peniaga pada sesi lawatan rahmah di Bazar Ramadan Taman Jati.

IPOH, 10 April 2023- YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Berbuka Puasa Rahmah Ramadan di Masjid Ittihadiah, Manjoi, di sini.

Ahli Parlimen Tambun itu, yang tiba di masjid tersebut pada jam 6.30 petang telah disambut oleh kira-kira 1,500 orang tetamu.

Antara yang hadir, YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad; YBhg. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Dato' Dr. Zulkapli Mohamed; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Dalam majlis tersebut, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim berkesempatan untuk menyampaikan ucapan serta melancarkan "Semarak Tambun Cinta Al-quran".

Beliau turut menunaikan solat maghrib secara berjemaah di masjid tersebut dan kemudiannya menunaikan solat Isyak, solat Tarawih serta menikmati jamuan moreh bersama 700 jemaah Masjid Ghufran, Manjoi, di sini.

Terdahulu, pada sebelah petang, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa untuk hadir ke Program Sumbangan Rahmah di Bank Simpanan Nasional, Meru Raya dan melakukan lawatan rahmah di Bazar Ramadan Taman Jati bagi menyantuni para penjual serta pengunjung di bazar tersebut.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.