Surah Al-Insan Dipilih Sempena Program World #QuranHour.
Seramai lebih 300 orang hadir ke program World #QuranHour kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
IPOH, 13 April 2023- Seramai lebih 300 orang hadir ke program World #QuranHour hasil kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Menurut YBhg. Timbalan Mufti Negeri, Dato’ Haji Zambri Hashim, penjawat awam berpangkat tinggi tidak perlu sombong dengan kedudukan yang dimiliki.
“Manusia ini asalnya tiada apa-apa, jika kita berpangkat biasa, kita boleh menyaingi orang yang berpangkat tinggi di akhirat. Jikalau kita berpangkat tinggi, jangan kita sombong.
“Pangkat ini adalah ujian kita di dunia ini dan bagaimana cara kita hadapi ujian itu yang akan meletakkan kita dalam syurga nanti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pemilihan surah Al-Insan ayat 1 hingga 31 sempena program World #QuranHour bertemakan ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’ yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Tambahnya lagi, program ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dalam skala yang lebih besar kerana hasratnya adalah untuk membudayakan mengaji dan mengkaji ayat-ayat al-Quran di semua peringkat masyarakat di negeri ini.
Hadir sama, YAA Ketua Hakim Syarie Mahkamah Utama Syariah Negeri, Dato' Ab. Rahman Thobroni Mohd Mansor dan YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Norsham Rahman.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.