Program Riang Ria Raya Promosi Dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Negeri Perak.

YAB Menteri Besar Perak ketika melakukan lawatan ke gerai yang disediakan.
IPOH, 13 April 2023- Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Perak telah menganjurkan Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Tahun 2023 bermula hari ini sehingga 14 April 2023 di Padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan, di sini.
YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad berkata, ini merupakan program tahunan yang diadakan setiap tahun oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak untuk membantu usahawan Industri Asas Tani (IAT) memperkenalkan serta memasarkan produk mereka.
"Seramai 18 orang usahawan daripada semua daerah di negeri Perak telah terlibat dalam program ini.
"Antara produk yang dijual hari ini ialah biskut dan kuih raya, kerepek, sos cili. Rendang Tok dan pelbagai produk IAT daripada usahawan-usahawan di Negeri Perak. Produk- produk yang dijual pada hari ini harganya adalah lebih rendah sebanyak 10 peratus (%) daripada harga biasa.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Riang Ria Raya Promosi dan Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian Negeri Perak di Padang Bangunan Seri Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Hj. Mohd Zolkafly Harun serta YBrs. Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Ts. Puan Norsiyenti Othman.
Ujar YAB Dato' Seri Saarani Mohamad lagi, melalui program ini juga seramai 44 orang usahawan telah menerima dana bantuan bernilai RM 820,000.00 daripada kerajaan negeri pada tahun 2023 dan telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2022 iaitu seramai 37 orang dengan dana bantuan sebanyak RM 550,000.00.
"Bantuan tersebut berupa bantuan mesin dan peralatan, menaiktaraf premis pemprosesan produk usahawan, menaiktaraf infrastruktur bagi usahawan serta bantuan pembungkusan produk usahawan industri asas tani.
"Sehingga Mac 2023, seramai 568 orang usahawan industri asas tani yang telah berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak menjalankan perniagaan secara aktif," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, seramai 6 orang usahawan industri asas tani di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perak telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa antaranya Syarikat Syilis Food Manufacturing Sdn Bhd, Syarikat Nab Food Industries, Syarikat Jamilah Mansor Enterprise (M) Sdn Bhd, Syarikat Shahrinie Food Industries, Syarikat Che Din Food Industries, dan Syarikat Royal Rendang Tok Mak Nik.