DYMM Paduka Seri Sultan Perak Berkenan Sampaikan Tauliah Pelantikan Hakim Negeri Perak Dan Anggota Maipk.

Baginda diiringi oleh YTM Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah dan YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad
KUALA KANGSAR, 15 April 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyampaikan tauliah pelantikan hakim-hakim negeri Perak dan anggota Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) kepada 7 orang penerima sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Pegawai-Pegawai Agama dan Masjid di Istana Iskandariah, di sini.
Mendahului penerima adalah hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak iaitu Yang Arif Tan Sri Dato' Seri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Yang Arif Tan Sri Dato' Seri Balia Yusof Haji Wahi.
Manakala, hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak pula adalah Yang Arif Datuk Wira Mohtaruddin Baki dan Yang Arif Datuk Seri Abdul Razak Musa.
Seterusnya adalah hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak iaitu Yang Arif Tuan Azman Saad dan Yang Arif Tuan Muhammad Fauzi Uzir Abd Wahab.
Bagi anggota MAIPk pula, baginda memperkenankan kepada SF Tuan Haji Harith Fadzilah Haji Abdul Halim.
Baginda turut perkenan untuk menerima peruntukan kewangan kerajaan persekutuan berjumlah RM77,769,264.00 daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Peruntukan itu adalah bayaran kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kafa di Perak bagi tahun 2023.
Di majlis yang sama, baginda berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM2,948,581.03 daripada enam syarikat korporat.
Penyerahan zakat perniagaan didahului oleh Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, YBhg. Dato’ Haji Mubarak Ali Gulam Rasul dengan jumlah RM1,421,512.77.
Kemudian, diikuti oleh P.C.M Sdn Bhd yang diwakili oleh Dekan Fakulti Perubatan UniKL, Profesor Madya Syed Rahim Syed Hamid dengan jumlah RM450,000.00 dan Ladang Moccis Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, YBhg. Dato’ Ahmad Sobri Wan Teh dengan jumlah RM450,000.00.
Sementara itu, Puncak Emas Infra Sdn Bhd diwakili oleh Penolong Pengurus Besar Korporat, Tuan Ayob Sahar dengan jumlah RM327,068.26.
Seterusnya adalah, R&Z Aktiviti Enterprise diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Tuan Azim Radin Mustapha Amiruddin dengan jumlah RM200,000.00 dan Belati diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Tuan Haji Mohamad Akmal Johari dengan jumlah RM100,000.00.
Baginda kemudiannya berkenan menyampaikan peruntukan itu kepada YABhg. Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini.
Mengakhiri majlis, baginda mencemar duli berbuka puasa bersama 240 orang tetamu pegawai-pegawai agama dan masjid negeri Perak serta menunaikan solat Maghrib, Isya’ dan Terawih secara berjemaah.
Turut berkenan berangkat, YTM Raja Kecil Sulong, Raja Dato’ Seri Ahmad Nazim Azlan Shah bin Raja Ashman Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Haji Zainuddin (Bersara); YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azmir Shah Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin.
Sumber : Korporat, SUK Perak.