Skip to main content

Kerajaan Negeri Tubuh Kiosk Mahasiswa Sejahtera.

YBUDR dan Kotak Global Sdn Bhd bersetuju untuk membina lima unit kiosk Mahasiswa Sejahtera.

IPOH, 16 April 2023 – Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Kotak Global Sdn Bhd (KGSB) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bagi pelaksanaan Program Mahasiswa Perak Sejahtera 2030.

Majlis menandatangani MOA antara kedua-dua syarikat yang diwakili oleh Ketua Eksekutif YBUDR, YBhg. Dato’ Ismail Saffian dan Ketua Eksekutif KGSB, Puan Fatima Chan Abdullah telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru, petang ini.

Menurut YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, melalui MOA tersebut, YBUDR dan Kotak Global Sdn Bhd bersetuju untuk membina lima unit kiosk Mahasiswa Sejahtera yang akan menyajikan pelbagai pilihan makanan dengan harga yang lebih rendah.

“Mahasiswa Perak Sejahtera merupakan program khusus yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi membantu pelajar, graduan serta belia dari golongan B40 dan asnaf untuk mendapatkan makanan pada harga yang lebih rendah dan berkhasiat.

“Program tersebut juga mampu melahirkan usahawan dalam kalangan belia dan graduan selain menjana peluang pekerjaan di sepanjang rantaian bekalan makanan dan minuman berlandaskan platform digital,” jelasnya.

Tambahnya lagi, bagi menyokong usaha kerajaan ke arah pembayaran tanpa tunai atau cashless, satu platform e-wallet akan diwujudkan untuk diguna pakai oleh pelajar, graduan dan belia.

“Buat permulaan, projek perintis program tersebut akan dimulakan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan selepas berjaya dilaksanakan, ia akan diperluaskan ke universiti-universiti lain di negeri Perak,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Encik Mohd Kahar Mukktaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), YBhg. Datuk Redza Rafiq Abdul Razak serta delegasi daripada USAS.

Majlis tersebut diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Menteri Besar Perak dan Anak Angkat Cikgu Saarani serta solat Maghrib, Isya’ dan Terawih secara berjemaah.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Khamis 27 November 2025, 04:19:41.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.