Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 Siri 4: Daerah Larut, Matang Dan Selama.

YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menyampaikan sijil tawaran pekerjaan kepada calon yang berjaya temuduga ketika karnival kerjaya tersebut.
TAIPING, 11 Mei 2023- Daerah Larut, Matang dan Selama menjadi destinasi kedua dalam Siri Jelajah Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan tahun ini bertujuan memberi ruang penduduk setempat bertemu barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan ketua jabatan negeri serta daerah bagi menyelesaikan aduan masing-masing.
Menurut YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, sebanyak 79 kaunter khidmat pelanggan, 15 reruai pameran dan 6 perkhidmatan kaunter bergerak telah disediakan buat para pengunjung.
“Menariknya kali ini, Karnival Kerjaya Perak Sejahtera kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) turut berlangsung sehingga jam 4.00 petang ini.
“Sebanyak 15 syarikat telah terlibat dengan tawaran lebih daripada 3,600 peluang pekerjaan dari pelbagai sektor industri dan peringkat jawatan bermula dari pensyarah, juruterbang UAV (Drone), juruteknik hinggalah ke peringkat eksekutif,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media sempena Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Tahun 2023 Siri 4 di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), pagi ini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin serta barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak.