Sidang DUN Perak Bermula 22 Mei Ini.

YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak ketika sidang media.
IPOH, 18 Mei 2023- Mesyuarat Ketiga, Tahun Pertama, Dewan Negeri Yang Ke-15, Perak Darul Ridzuan akan berlangsung pada 22 Mei hingga 25 Mei ini.
YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid berkata, seperti kelazimannya, sepanjang empat hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung dengan tempoh sesi selama 90 minit.
“Pada mesyuarat kali ini, terdapat dua Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa oleh pihak kerajaan iaitu Enakmen Hotel Perak 2023 yang akan dibawa oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching serta Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 yang akan dibawa oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Mohd Zolkafly Harun.
“Selain itu, terdapat dua usul yang akan dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad iaitu Usul Meminda Perkara 38, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan serta Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama, YB Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Cik Jenny Choy Tsi Jen.
Ujar YB Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid lagi, seramai 46 orang Ahli Dewan Negeri akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan dua RUU tersebut.
“Seramai 23 orang ahli dewan negeri akan berbahas berkaitan Enakmen Hotel Perak 2023 dan baki 23 orang lagi akan berbahas berkaitan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.
“Untuk makluman, tempoh perbahasan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 30 minit seorang. Manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 15 minit seorang,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, persidangan Dewan Negeri Perak pada kali ini akan berlangsung dengan wajah yang baharu.
Pengubahsuaian melibatkan ruang dalaman iaitu penaiktarafan meja dan kerusi Ahli Dewan Negeri telah dilakukan agar dapat memberikan keselesaan dan suasana yang lebih segar seiring dengan iltizam memartabatkan Dewan Negeri Perak sebagai institusi legislatif tertinggi negeri.