Perak Lulus RUU Hotel Perak.
YAB Menteri Besar Perak berucap semasa Sidang DUN Negeri Perak.
IPOH, 23 Mei 2023- Dewan Negeri Perak telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023 yang membabitkan pelesenan serta pengawalan hotel di negeri itu.
Keputusan tersebut telah diumumkan oleh YB Yang Di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid selepas proses pengundian dilakukan pada hari kedua Mesyuarat Ketiga, Tahun Pertama, Dewan Negeri Perak Ke-15.
Daripada 57 orang Ahli Dewan Negeri yang mengundi, 32 orang ahli yang menyokong manakala 25 lagi tidak menyokong.
RUU itu telah diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas ia dibentangkan buat kali ketiga oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Sandrea Ng Shy Ching dengan dibahaskan 23 orang Ahli Dewan Negeri.
YB Puan Sandrea Ng Shy Ching semasa sesi penggulungan RUU itu berkata, RUU Hotel Perak 2023 antara lain akan menyediakan kaedah kawalan melalui pelesenan yang penting untuk dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hotel dan tempat bermalam di negeri Perak.
“Penyeragaman syarat lesen dapat mengawal isu keselamatan, kebersihan dan kacau ganggu yang menjadi pertimbangan dan kerisauan pengunjung bagi pemilihan destinasi pelancongan serta keseragaman kualiti hotel di Perak selain menjadi tarikan pelancong untuk datang.
“Ini kerana kita menyediakan destinasi selamat atau safe-tourism secara menyeluruh dari utara hingga selatan negeri Perak.
“Selain itu, RUU ini bertujuan bagi meningkatkan ekonomi rakyat tempatan, penggiat industry dan peniaga-peniaga kecil yang menerima impak terus daripada pengurusan industry pelancongan yang lebih seragam dan selamat daripada sistem tadbir urus yang berkesan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, RUU Hotel Perak 2023 diluluskan bagi mengantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 selari dengan perkembangan sektor pelancongan negeri Perak yang menerima ramai pengunjung setiap tahun di samping meningkatkan kualiti hotel dan tempat menginap di seluruh negeri.
Sumber : Korporat, SUK Perak.

Jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan) disandang oleh YBhg. Dato' Nor Sham Binti Rahman. Beliau berkelulusan L.L.B. (HONS) (UIA) dan D.P.A. (INTAN). Beliau memulakan perkhidmatan dalam kerajaan pada 15 September 1997 sebagai Penolong Pengarah, Unit Pengurusan Dan Profesional, Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam.
Jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak disandang oleh YB Dato Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim. Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 15 Januari 1996 dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.