Skip to main content

Perak Sasar 25 Peratus Pekerja Sektor Swasta Tubuh Kesatuan Sekerja.

Puan Dr. Rabaayah Daud menyampaikan ucapan kata-kata aluan di majlis tersebut.

IPOH, 30 Mei 2023- Kerajaan negeri menyasarkan 25 peratus pekerja sektor swasta menubuhkan kesatuan sekerja dalam tempoh lima tahun bagi menjamin hak-hak pekerja.

Menurut YB Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, Encik Sivanesan A/L Achalingam, adalah menjadi hak setiap pekerja untuk bekerja dalam persekitaran kerja yang selamat dan sihat selaras dengan konvensyen antarabangsa bagi melindungi hak pekerja.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri bersedia untuk membantu pekerja yang tidak mendapat sokongan daripada majikan untuk menubuhkan kesatuan sekerja.

“Pejabat saya sentiasa akan memberikan bantuan jika pekerja tersebut memerlukan pengiktirafan atau bantuan guaman sekiranya ada majikan yang ingin mencabar mereka di mahkamah.

“Jadi, saya harap majikan di negeri Perak ini bekerjasama dan membenarkan pekerja untuk menubuhkan kesatuan. Penubuhan kesatuan pekerja ini adalah baik untuk kedua-dua belah pihak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah merasmikan Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 Peringkat Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sambutan ini melibatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri Perak dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP).

Turut berlangsung sesi perkongsian dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkaitan pengalaman mangsa kemalangan di tempat kerja dan faedah yang diperolehi serta penerangan oleh pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta tentang kaedah mengenali tanda-tanda kesihatan mental dan tekanan di tempat kerja serta cara menanganinya.

Malah, peserta turut diberi pendedahan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak berkaitan prosedur dan kaedah menghadapi situasi kecemasan berpunca dari tekanan di tempat kerja.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Puan Suriati Shahar; Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Puan Dr. Rabaayah Daud dan Pengarah PERKESO, Encik Haji Zainal Ismail.

FaLang translation system by Faboba
  • Hakmilik © 2020 Kerajaan Negeri Perak. Kemaskini Terakhir : Isnin 23 Jun 2025, 09:05:57.
Paparan Terbaik: 1600 x 900 Piksel melalui Mozilla Firefox dengan resolusi SUSUN ATUR RESPONSIF.