Sistem ePenghulu Sertai Pameran Konvensyen Pembangunan Dan Kesejahteraan Rakyat ‘Pembangunan Madani, Rakyat Disantuni’.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan di hadapan kira-kira 700 tetamu yang hadir.
SUNGAI PETANI, 17 Jun 2023- Sistem ePenghulu terpilih untuk sertai pameran di Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat ‘Pembangunan MADANI, Rakyat Disantuni’ pada 16 Jun sehingga 17 Jun 2023 di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah.
Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat ‘Pembangunan MADANI, Rakyat Disantuni’ itu telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, petang tadi.
Konvensyen tersebut bertujuan untuk menyediakan platform bagi menterjemah aspirasi MADANI dalam konteks pembangunan dan kesejahteraan rakyat, membincangkan tata kelola dari sudut peraturan serta amalan terbaik dalam merealisasikan agenda sosio-pembangunan nasional selain memperkukuhkan sinergi antara pusat, negeri, daerah termasuk pihak berkuasa tempatan dalam menyelaras dan mengurus agenda pembangunan rakyat terutamanya menangani kemiskinan.
Seramai 700 peserta iaitu pegawai-pegawai kanan kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri serta Setiausaha Persekutuan Sabah dan Sarawak, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), pegawai-pegawai kanan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan serta pegawai-pegawai daerah dari seluruh negeri.
Menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan memperkasa pentadbiran pejabat daerah di seluruh negara bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Tambahnya lagi, walaupun kerajaan hari ini memberi keutamaan kepada projek besar dan berdepan cabaran anjakan perubahan dunia dari segi teknologi digital serta ekonomi namun usaha menjamin kesejahteraan rakyat tidak akan diabaikan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan khusus sebanyak RM100,000 bagi kegunaan setiap pejabat daerah.
Di majlis tersebut, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Pelancaran Sistem Nasional MyProjek, Penyampaian Sijil Apresiasi kepada Rakan Strategik Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta menerima Penyerahan Resolusi Konvensyen.
Sebelum mengakhiri majlis, beliau turut meluangkan masa untuk melawat pameran tersebut bersama Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.
Hadir sama, YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tuan Adam Adli Abd Halim; YBhg. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Norsham Rahman; Penghulu Mukim Kinta Ipoh, Dr. Mohd Sani Kamaruddin dan pegawai-pegawai daerah Perak.
Terdahulu, sistem ePenghulu telah menerima Anugerah Inovasi Menteri Besar (AIMB) sebanyak RM50,000 dan Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT) sebanyak RM5,000 sempena Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan 2022.
Sumber : Korporat, SUK Perak.