DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berangkat Menunaikan Solat Sunat Aidiladha.

Baginda berangkat pulang setelah usai Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah.
IPOH, 29 Jun 2023- DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, pagi ini.
Turut berangkat DYAM Raja DiHilir Perak Darul Ridzuan, Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah.
Keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan kira-kira jam 8.30 pagi itu disambut oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Hadir sama, YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ Seri Diraja Tan Sri (Dr.) Mohd Zahidi Haji Zainuddin (Bersara); YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Haji Mohd Zolkafly Harun; Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Tuan Haji Harith Fadzilah Haji Abdul Halim.
Imam utama Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan yang mengimamkan solat sunat turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘Ibadah Korban - Bukti Takwa ke Hadrat Ilahi’.
Khutbah antara lain menyeru Umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sifat kesyukuran di samping mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan yang kurang berkemampuan.
Selain itu, khutbah sama mengingatkan Umat Islam mengambil iktibar di sebalik ibadah haji yang mana kedudukan manusia sama di sisi Ilahi dan kelebihan seseorang hamba terletak pada sifat takwa.
Usai solat sunat, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan meninggalkan pekarangan dan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha di Sekolah Menengah Agama Izzudin Shah.
Turut berangkat ke majlis sambutan tersebut, DYMM Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim; DYTM Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah serta DYAM Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan, Tunku Soraya Binti Almarhum Sultan Abdul Halim.